Utusan Malaysia, 19/06/2009
SAYA tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia mewajibkan majikan memberikan cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah warga asing hujung tahun ini.
Adakah kenyataan ini dibuat setelah mendapat pandangan daripada majikan-majikan rakyat Malaysia? Bukan semua majikan di Malaysia kejam dan menyerahkan urusan rumahtangga dan anak-anak kepada pembantu rumah mereka.
Banyak masalah akan timbul kepada majikan dan bukannya kepada menteri berkenaan. Masalah sosial, jenayah dan peluang mereka lari juga sangat tinggi. Sedangkan kami majikan telah berhabisan ribuan ringgit untuk mendapatkan khidmat mereka.
Siapa yang membela nasib kami majikan jika pembantu rumah lari? Kami majikan mendapatkan khidmat pembantu rumah supaya kami khususnya kaum wanita boleh menyumbangkan khidmat kami kepada negara.
Tetapi jika mereka lari, kami terpaksa membayar denda kepada Imigresen. Kalau tidak diberi cuti, kami harus membayar pampasan dan denda sehingga RM10,000? Belum dikira lagi masalah penjagaan anak dan rumah.
Saya berpendapat isu cuti ini wajar diberikan atas budi bicara dan persetujuan antara majikan dan pembantu rumah sahaja. Tidak perlu dimasukkan ke dalam perjanjian. Seperti pembantu rumah saya, waktu rehatnya ialah pada waktu petang menemani anak bermain atau menonton TV, sementara saya memasak makan malam. Waktu kerjanya adalah 5 pagi hingga 9.30 malam sahaja. Selepas itu, dia boleh berehat di biliknya mendengar radio atau berhubung dengan keluarganya di Indonesia.
Dia juga ada masa untuk sembahyang lima waktu, mendapat makanan yang halal dan berkhasiat dan bilik yang selesa. Pakaian dibelikan pada Hari Raya dan setiap kali perbaharui kontrak. Wang gaji juga boleh dihantar ke kampung apabila diperlukan ataupun disimpan di dalam bank atas nama beliau sendiri.
Mereka juga boleh ikut kami bercuti atau boleh memilih tinggal di rumah. Itulah layanan saya terhadap dua pembantu rumah saya sebelum ini dan juga yang sekarang. Yang penting, kami sama-sama bersetuju, asalkan semua kerja rumah dan anak beres.
Kebajikan mereka saya jaga dan mereka dilayan seperti manusia. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mempunyai masalah besar dengan pembantu rumah saya. Mereka ke Malaysia untuk bekerja kerana kehidupan di negara sendiri sangatlah jauh susahnya.
Kementerian Sumber Manusia dan mana-mana NGO atau agensi yang menyokong cadangan ini diminta melihat layanan negara lain terhadap pembantu rumah mereka.
Jangan kerana kes-kes terpencil yang berlaku, semua majikan di Malaysia menerima musibah.
Lebih baiklah Menteri Sumber Manusia dan kementerian berkaitan menyemak caj ejen-ejen yang mengenakan bayaran sehingga RM7,000-RM10,000 untuk mendapatkan seorang pembantu rumah dan meminta gaji pula sehingga RM600 sebulan.
Pelaksanaan undang-undang juga mesti tegas ke atas warga asing supaya mereka hormat kepada kita. Kenapa mereka dimanjakan? Kenapa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan?
MAJIKAN BAIK HATI
Kuala Terengganu
No comments:
Post a Comment